Tentang Kami

Akademi Darul Tauhid dicetuskan berikutan keperluan spiritual masyarakat Islam negara ini, dan juga keperluan menyebarluaskan dakwah Islamiyah kepada golongan bukan Islam agar tertegaknya kalimah Allah di muka bumi. Pengasasnya pada awalnya menubuhkan Pusat Bimbingan & Latihan Darul Tauhid pada 26 Disember 2017 berbekalkan pengalaman dalam bidang korporat, dakwah, dan latihan serta pernah terlibat dalam bidang pengubatan Islam sejak sedekad yang lalu.

 

Menerusi pengalamannya, beliau mendapati bahawa masih ramai lagi ahli masyarakat yang beragama Islam masih jahil dan ragu-ragu tentang agama yang dianutinya. Bahkan ramai yang masih berada dalam kegelapan syirik kerana masih percaya dengan tangkal dan azimat, bomoh, dukun, sial, dan sebagainya. Maka pusat ini adalah manifestasi kepada impiannya untuk meneruskan usaha dakwah para rasul serta perjuangan para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam untuk menyeru manusia kepada agama Allah, mentauhidkanNya, dan bersama-sama mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Walaupun terdapat banyak pusat-pusat pengajian seperti sekolah, madrasah, universiti, dan sebagainya di Lembah Klang khususnya, namun “bekalan” tersebut tidak dapat memenuhi kehendak “permintaan” sejumlah besar penduduk di kawasan ini. Masih ramai yang jahil tentang Al-Qur’an, As-Sunnah, dan sangat daif dari segi ilmu dan kefahaman tentang agama Islam secara keseluruhannya.

 

Pada Ogos 2018, namanya diperbaharui sebagai Akademi Darul Tauhid bagi menjadi sebahagian penyumbang kepada kelestarian ilmu dan kemekaran dakwah Islamiyah di Malaysia khasnya dan di dunia amnya.