Pengasas & Mudir Darul Tauhid

Al-Faqir Ustaz Abu Humayd, Abang Sufri Mahmud Bin Abang Usop dilahirkan di Miri, Sarawak pada tahun 1983. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kerajaan Temenggung Datuk Muip, Miri, di mana beliau telah diasah dan dilatih dalam bidang keagamaan; antaranya menyertai pertandingan bercerita kisah-kisah para Nabi dan Rasul sempena Majlis Tilawah Al-Qur’an Sekolah-Sekolah Malaysia pada masa itu. Beliau juga pernah memenangi pertandingan tilawah Al-Qur’an ketika di usia sekolah rendah.

 

Beliau seterusnya meneruskan pengajian di peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj. Othman Bin Abdul Wahab, Matang, Kuching, Sarawak dan kemudian ke Sekolah Menengah Kerajaan Agama Miri, Sarawak. Di bangku sekolah lagi beliau telah melibatkan diri dalam pelbagai pertandingan syarahan agama, debat, pidato, dan cemerlang dalam subjek Pendidikan Al-Qur’an dan As-Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiyah.

Ustaz Abu Humayd kemudian menyambung pengajian di peringkat diploma di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dan berjaya memperolehi Diploma Pentadbiran Awam (DPA). Beliau juga merupakan pelajar terbaik program DPA dan pelajar terbaik keseluruhan kampus tersebut pada tahun 2005. Beliau melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di UiTM Shah Alam dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dengan kepujian, pengkhususan dalam Perniagaan Antarabangsa serta berjaya mendapat Kelas Pertama.

 

Mulai tahun 2011, beliau telah berkenalan dengan pendakwah antarabangsa yang tersohor iaitu Dr. Abu Ameenah Bilal Philips dan beliau pun menyertai program B.A. Islamic Studies di Islamic Online University yang diasaskan oleh Dr. Abu Ameenah. Dalam masa yang sama, sejak tahun 2010 hingga 2013, Ustaz Abu Humayd sering berulang alik dari Miri ke Kuching dan Kuala Lumpur untuk menuntut ilmu agama daripada para guru tempatan.

Antara guru beliau ialah Al-Fadhil Ustaz Wan Habib Fauzi Bin Wan Abdullah, pengajar di Surau Sri Bahagia, iaitu kediaman rasmi Almarhum Tun Abdul Rahman Yaakub, mantan Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak. Di situ juga beliau memperdengarkan bacaan Al-Qur’an di hadapan Al-Fadhil Ustaz Dawi dan mempelajari ilmu fiqh daripada Al-Fadhil Ustaz Fathi, mantan Timbalan Mufti Sarawak. Di Semenanjung Malaysia pula beliau pernah menghadiri halaqah dan kuliah pengajian para asatizah tempatan termasuklah SS Dato’ Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin, Datuk Dr. Abdul Basit Bin Abdul Rahman, Dato’ Dr. Fathul Bari Mat Jahaya, Dr. Sulaiman Noordin, Dr. Zahazan Mohamed, Dr. Fadlan Bin Mohd Othman, Maulana Muhammad Asri Yusoff, Sheikh Hussain Yee, Ustaz Rasul Dahri, Ustaz Adli Mohd Saad, Ustaz Abu Asma’ Yunus, dan lain-lain lagi. Beliau juga pernah menghadiri daurah-daurah ilmiyah bersama-sama tokoh ulama dari Jordan, iaitu Sheikh Ali Al-Halabi dan Sheikh Salim Eid Al-HIlali.

 

Antara guru beliau juga ialah Dr. Ibrahim Klaudian Al-Arna’ut, iaitu Qadi Albania, dalam bidang qiraat dan tajwid serta fiqh. Beliau juga menghadiri halaqah pengajian hadith oleh Sheikh Abdul Rahman Bin Abdul Karim Al ‘Uthman sehingga berjaya mendapat ijazah sanad bagi kitab Al-Adab Al-Mufrad. Beliau turut memperolehi ijazah sanad bagi Hadith 40 An-Nawawi daripada Sheikh Sa’id Al-Kamali, ulama tersohor dari Maghribi. Selain itu, beliau memperolehi ijazah ‘am bagi kitab Sahih Al-Bukhari dan ijazah khas bagi kitab Sunan An-Nasa’i (As-Sughra) daripada Allahyarham Sheikh Ahmad Zubair Jatajami, anak murid Allahyarham Sheikh Zakaria Al-Kandahlawi yang terkenal itu.

 

Ustaz Abu Humayd mempunyai pengalaman kerja dan keusahawanan dalam banyak bidang termasuk perhotelan, industri makanan, minyak dan gas, perkapalan, dan bidang latihan. Beliau telah terlibat dalam organisasi dan gerakan dakwah secara aktif sejak tahun 2010 dengan mengadakan usrah dan halaqah ilmu di Miri, Sarawak. Beliau juga pernah menjadi Presiden Pertubuhan Kebajikan Asy-Syafie yang berpusat di Kuching, Sarawak. Beliau turut aktif dalam bidang pengubatan Islam dan pernah membuka Pusat Rawatan Baitussalam di Miri dan pernah berkhidmat di Pusat Rawatan Darul Hadith di Shah Alam. Beliau turut aktif menyampaikan ceramah, kuliah, dan khutbah di sekitar Lembah Klang sejak tahun 2015 hingga kini.

Pada tahun 2015 beliau berkhidmat dengan Yayasan Ta’lim Kuala Lumpur dan bertanggungjawab mengurus dan mentadbir program Diploma Pengajian Islam. Dalam masa yang sama, beliau turut memegang jawatan sebagai Wakil Islamic Online University di Malaysia hingga tahun 2016 dan pernah mengajar di universiti maya berkenaan.

 

Seterusnya sejak 2016 hingga 2017, beliau pernah menjawat jawatan Setiausaha Kerja bagi Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (GASMA) yang bernaung di bawah Yayasan Ikatan Asia Tenggara. Pada penghujung tahun 2017, beliau mengasaskan Pusat Bimbingan & Latihan Darul Tauhid.

 

Antara karya-karya penulisan beliau ialah:

 

  1. Antara Islam & Budaya: Pertembungan Tamadun Dari Kaca Mata Islam – karya terjemahan daripada buku asal Dr. Abu Ameenah Bilal Philips (2013)
  2. Ruqyah Shar’iyyah: Dari Neraca Al-Qur’an dan As-Sunnah (2014)
  3. Koleksi 10 Tazkirah Penyucian Jiwa (2015)
  4. Wahai Sekalian Manusia! (2015)
  5. Amalan & Doa Harian Penangkis Gangguan Syaitan (2015)
  6. Bila Hati Disapa Hidayah (2015)
  7. 7 Sifat Mukmin Yang Berjaya (2015)
  8. Pengubatan Islam: Antara Fakta & Auta (2018)

Beliau kini sedang menyambung pengajian di peringkat Master dalam bidang dakwah dan pengurusan Islam di sebuah universiti tempatan.