PROFIL KORPORAT

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Ta’ala atas segala limpah kurniaNya dan rahmatNya. Kami amat bersyukur kerana dengan izin Allah, Akademi Darul Tauhid kini sudah hampir menjangkau usia satu tahun setelah menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran. Kami insaf dan sedar bahawa bukanlah mudah untuk membangunkan sebuah institusi pendidikan, lebih-lebih lagi yang bersifat swasta tanpa bantuan daripada kerajaan. Oleh sebab itu kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua individu yang telah membantu perjalanan Akademi Darul Tauhid ini sejak awal penubuhannya dahulu hingga kini. Di Akademi Darul Tauhid, kami sentiasa berazam untuk menyediakan prasarana dan program yang terbaik dalam pendidikan agama dari peringkat asas hingga ke peringkat tinggi. Teras kami ialah Al-Qur’an dan As-Sunnah menurut kefahaman generasi terbaik umat Islam.

Motto kami ialah “mengesakan Allah teras kejayaan ummah”, berasaskan kepercayaan bahawa kejayaan yang hakiki ialah kejayaan di akhirat kelak, bukan hanya di dunia. Fokus kami ialah pendidikan agama yang bermutu dan berprestij, demi memacu perubahan dan anjakan umat masa hadapan. Ini kerana kami percaya hanya dengan pendidikanlah kita mampu menjana perubahan.

Pelbagai program telah dan sedang dirancang untuk memperkasakan aktiviti akademik khasnya dalam bidang keagamaan dan kerohanian – yang amat-amat diperlukan oleh generasi pada setiap zaman. Bukan sahaja program tahfiz, pelbagai program akademik peringkat tinggi juga disediakan seperti Diploma ‘Ulum Al-Hadith, Diploma Pengajian Islam, dan sebagainya.

Kami masih baharu, tetapi visi kami amat jauh. Dalam mencapai visi kami, sokongan dan bantuan semua pihak amat diperlukan. Oleh itu, kami amat mengalu-alukan sumbangan idea, infaq, zakat, dan sebagainya agar perjalanan pusat pengajian Islam yang tiada sepertinya ini akan terus maju
ke hadapan. Dengan izin Allah juga.

 

Abu Humayd, Abang Sufri Mahmud
Pengasas & Mudir (Pengarah) Akademi Darul Tauhid

Kami bermula sebagai Pusat Bimbingan & Latihan Darul Tauhid yang ditubuhkan dan didaftarkan pada 26 Disember 2017 bermuladengan kelas-kelas agama di kediaman pengasas dan pengarah urusannya, Abang Sufri Mahmud, di Desa Ayer Hitam, Puchong.

Pada awal Februari 2018, lokasi operasinya berpindah ke sebuah premis yang terletak di Presint Diplomatik, Wilayah Persekutuan Putrajaya, dan program yang pertama dilancarkan di premis yang baharu tersebut ialah program Sijil Pengubatan Islam dengan sepuluh
orang pelajar yang pertama. Kelas-kelas agama seperti kelas Al-Qur’an, talaqqi kitab-kitab, dan sebagainya turut diadakan, ada yang secara percuma dan ada juga dengan yuran yang berpatutan. Semuanya sesuai untuk semua peringkat dan lapisan masyarakat.

Program diploma yang pertama bermula pada bulan Mei 2018 melalui kerjasama dengan Kolej Pengajian Tinggi Islam Al Insaniah Selangor, iaitu program Diploma Pengajian Islam & Bahasa Arab dengan pengambilan pelajar yang pertama seramai 14 orang.

Latar Belakang Syarikat

Nama Syarikat : DT EDUCATION SDN. BHD.

No. Pendaftaran SSM : 1298668-A

Tarikh Penubuhan: 9 Oktober 2018

Alamat: 1A, Tingkat 1, Jalan Diplomatik 2/2, Presint Diplomatik, 62050 Putrajaya

Ahli-Ahli Lembaga Pengarah:

Abang Sufri Mahmud Bin Abang Usop
Hazazulaika Binti Abd Aziz
Hazliza Binti Abd Aziz
Intan Nurliyana Binti Mohd Radzuan
Kamarul Azlan Bin Kamaruddin