Sejarah Akademi Darul Tauhid

          DT EDUCATION SDN. BHD. bermula sebagai sebuah perusahaan kecil-kecilan yang diasaskan oleh En. Abang Sufri Mahmud Bin Abang Usop. Ia dinamakan sebagai Pusat Bimbingan & Latihan Darul Tauhid dan didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 sebagai pemilikan tunggal. Ia menawarkan perkhidmatan bimbingan, kaunseling, dan latihan berkaitan terapi kerohanian termasuklah rawatan Islam, dan kursus-kursus bersifat keagamaan.

          Mulai Ogos 2018, ia bertukar nama menjadi Akademi Darul Tauhid yang juga didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Seterusnya pada 9 Oktober 2018, bersama-sama isteri pengasas dan rakan-rakan yang lain, DT EDUCATION SDN. BHD. ditubuhkan secara rasmi dan mengambil alih Akademi Darul Tauhid. DT EDUCATION SDN. BHD. didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Syarikat 2016. Selain En. Abang Sufri Mahmud, ahli-ahli Lembaga Pengarahnya terdiri daripada Pn. Hazazulaika Binti Abd Aziz, Pn. Hazliza Binti Abd Aziz, En. Mohd Shah Bin Abu Bakar, Pn. Intan Nurliyana Binti Mohd Radzuan, dan En. Kamarul Azlan Bin Kamaruddin.

          Sejak masih bernama Pusat Bimbingan & Latihan Darul Tauhid, perusahaan ini telah menganjurkan beberapa program pendidikan bersifat Islamik termasuklah kursus Sijil Pengubatan Islam, Diploma Pengajian Islam & Bahasa Arab, dan Diploma Ulum Al-Hadith.

          Oleh sebab teras perusahaan ini mula menuju ke arah bidang pendidikan dan bukannya lagi bidang kerohanian semata-mata, maka pengasasnya telah menukarkan nama dengan mendaftarkan satu entiti baharu bernama Akademi Darul Tauhid. Ia didaftarkan secara rasmi pada 8 Ogos 2018.

          Program bersifat akademik yang pertama ditawarkan ialah program Sijil Pengubatan Islam dengan sepuluh pelajar pertama. Kelas pertamanya bermula pada 4 Februari 2018. Bermula awal April 2018, program tahfiz separuh masa diperkenalkan dengan dua orang pelajar pertama. Kemudian pada bulan Mei 2018, program Diploma Pengajian Islam & Bahasa Arab diperkenalkan dengan usahasama Kolej Pengajian Tinggi Islam Al Insaniah. Seramai 14 pelajar pertama telah mendaftar pada waktu itu. Pada masa yang sama, program Diploma Ulum Al-Hadith yang lebih menumpukan pada pengajian kitab-kitab hadis klasik turut bermula dengan 10 orang pelajar pertama.

          Program Sijil Bahasa & Sastera Arab mula diperkenalkan pada bulan September 2018 dengan seramai 10 orang pelajar pertama.

          Kini, setakat bulan Januari 2019, Akademi Darul Tauhid mempunyai seramai lebih kurang 20 pelajar tahfiz sepenuh masa, 30 orang pelajar diploma, dan 8 orang pelajar program sijil.